Pertanian ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, peternakan, dan perhutanan. Ia merupakan perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun, dengan penanaman dan penternakan mewujudkan lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan masyarakat yang lebih padat dan berstrata. Kajian pertanian dikenali sebagai sain pertanian.
Pertanian merangkumi pelbagai bidang dan teknik, termasuk cara meluaskan tanah untuk bercucuk tanam dengan membina terusan air dan bentuk pengairan yang lain. Penanaman tanaman di tanah suai tani dan penternakan haiwan di kawasan ragut merupakan asas pertanian. Pada abad yang lalu, pengenalpastian dan pengkuantitian pelbagai bentuk pertanian telah menjadi perkara yang dipentingkan. Di dunia maju, julat bentuk tersebut biasanya terbentang antara pertanian mampan (misalnya, permakultur dan pertanian organik) dan pertanian intensif (misalnya, pertanian perindustrian).
Agronomi (ilmu pertanian) moden, pembiakaan tumbuhan, racun perosak, dan baja, serta juga peningkatan teknologi telah menambah hasil tanaman secara mendadak tetapi pada waktu yang sama, sangat menjelaskan ekologi dan kesihatan manusia. Pembiakan pilihan dan amalan moden penternakan seperti peternakan babi intensif (dengan amalan yang serupa juga dipergunakan untuk ayam) juga meningkatkan keluaran daging, tetapi menimbulkan rasa bimbang tentang kekejaman hewan dan kesan kesehatan antibiotik, hormon pertumbuhan, dan bahan kimia yang lain yang umum digunakan dalam pengeluaran daging perindustrian.